Integriti dan peningkatan kualiti perkhidmatan awam

For today’s post I am appending an essay on integrity and public service.

Pengenalan

“Sistem integriti akan menangani konflik kepentingan dalam sektor awam, mengagihkan kuasa secara berkesan dan membatasi situasi yang boleh mencetuskan konflik kepentingan dan menjejaskan manfaat bersama. Perkara ini melibatkan akauntabiliti, ketelusan, pencegahan dan hukuman”

(Mohd Nizam Mohd Ali 2007) Sistem Integriti Nasional: Asas-asas panduan, ms 2

Integriti mencetuskan pelbagai persepsi dan pendapat. Bagaimanapun teras kepada integriti itu ialah keutuhan akhlak, kewibawaan, ketakwaan makhluk yang bernama manusia itu sendiri (Syed Othman Alhabshi 2001; Mohamad Shahir bin Abdullah 2006).

Cabaran keempat Wawasan 2020 yang menyatakan:

“Membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur”, menjadi faktor pendorong kepada penggubalan Pelan Integrasi Nasional (PIN) yang dilancarkan pada tahun 2004.

Kompetensi, akauntabiliti dan ketelusan menjadi tonggak konsep integriti sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN)

“ integriti adalah kualiti kecemerlangan yang dimanifestasikan secara holistik dan bersepadu dalam indidvidu dan organisasi” (Institut Integriti Malaysia 2003), ms 22.

Umum sedar bahawa elemen-elemen integriti untuk peningkatan kualiti kerja telahpun lama diterapkan ke dalam Perkhidmatan Awam melalui pelbagai program, peraturan, pekeliling dan kempen seperti Piagam Pelanggan; Hari Bertemu Pelanggan; Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja; Sistem Pengurusan Akauntabiliti dan Berintegriti; Kempen Bersih, Cekap, Amanah; Laporan Perisytiharan Harta; dan program penerapan Nilai-nilai Islam. Pemimpin sesebuah organisasi hendaklah bukan sahaja seorang yang mempunyai integriti yang tinggi tetapi dilihat mempunyai kewibawaan dan integriti yang boleh dicontohi. Satu daripada asas pembentukan sistem integriti itu ialah integriti tidak boleh dipaksa atau dikuatkuasa melalui undang-undang semata-mata. Untuk mengukuhkan lagi integriti yang sedia wujud, pihak pengurusan harus merangka pelbagai program berterusan diperingkat organisasinya supaya budaya integriti itu menjadi second nature. Ke arah itu, tindakan pendidikan (educative) dan pencegahan (preventive) perlu berjalan seiring dengan tindakan hukuman (punitive). Kertas ringkas ini akan mengimbas sepintas lalu tentang maksud integriti, Pelan Integriti Nasional dalam kerangka Sistem Integriti Nasional dan kepentingan integriti dalam perkhidmatan awam. Rangka kasar peranan, program dan penglibatan pemimpin organisasi dalam konteks pengukuhan integriti dan peningkatan kualiti kerja juga akan dibincangkan. Kertas ini diakhiri degan rumusan tentang peranan kepimpinan dalam peningkatan kualiti kerja dan pengukuhan integriti.

Apakah integriti?

Dari sudut definisinya integriti ialah kualiti dan ciri positif keseluruhan yang wujud pada individu atau organisasi, Ciri ini berkaitan kecekalan pematuhan kepada kod moral dan kod etika, kualiti ciri positif keseluruhan (wholesome) dan suci (pure). Ciri ini berkait rapat dengan sifat mulia seperti kejujuran, ketulusan, amanah, kebolehpercayaan, ketegasan, kesatuan, kesucian, kebaikan, dan pengakuran kepada kod nilai (Tuan Asmawi Tuan Umar 2006).

Mengikut Kamus Dewan, integriti adalah “kejujuran, keadaan sempurna dan utuh’; manakala Oxford Dictionary memberikan takrif integrity sebagai “quality of being honest and having strong moral principles, the state of being whole and undivided and the condition of being unified and sound in construction”. (Oxford University Press 2008)

Mohd Tap Salleh, menyorot makna integriti seperti yang digariskan dalam Pelan Integriti Nasional (PIN): “… a quality of excellence that is manifested in a holistic and integral manner in individual and organisations. Integrity is based on ethics and noble values and their concrete manifestations in daily lives” (Mohd Tap Salleh 2007).

Dalam konteks hubungan antara integriti dengan individu, organisasi dan penjawat awam, Mohd Tap Salleh (2007) seterusnya menyatakan bahawa:

a) Integriti dan individu

Integriti dicerminkan dalam harmoni antara apa yang dikata dan yang di kota. Tindakan individu itu sejajar dengan prinsip moral dan etika, undang-undang dan peraturan, serta tidak bertentangan dengan kepentingan awam.

b) Integriti dan organisasi

Integriti dalam organisasi dicerminkan dalam penggubalan dan pelaksanaan kod etika, piagam pelanggan, sistem atau peraturan kerja, yang mengikut amalan terbaik. Kod etika organisasi sentiasa diterapkan, dihayati, dan diamalkan oleh anggota organisasi sehingga ia menjadi amalan dan budaya keseluruhan organisasi.

c) Integriti dan penjawat awam

Penjawat awam yang berintegriti menjalankan tugas yang dimanahkan mengikut kepentingan awam. Mereka tidak dibenarkan untuk menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri, keluarga, atau saudara mara. Jika terdapat pertentangan antara kepentingan peribadi dan kepentingan awam, kepentingan awam lebih diutamakan.

Dari perspektif Islam pula, integriti bukanlah perkara baru. Dalam Islam integriti itu mencakupi ciri akhlak dan taqwa. Taqwa itu ialah melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi segala laranganNya (Mohamad Shahir bin Abdullah 2006). Ketaqwaan itu ditonjolkan melalui beberapa sifat utama seperti amanah, benar, telus, bijaksana, adil, syukur, sabar, ikram, tekun, dan taat. Akhlak tidak sama dengan moral kerana akhlak bersumberkan hukum Allah dan sama untuk semua manusia manakala moral itu bersumberkan persepsi manusia dan berbeza-beza mengikut sosio budaya.

Syed Othman Alhabshi (Syed Othman Alhabshi 2001) pula mengkategorikan integriti itu kepada empat;

a) integriti rohaniah – meliputi aspek iman dan taqwa

b) integriti akhlak – meliputi aspek amanah, bertanggungjawab, berbudi mulia, rajin dan tekun, syukur dan sabar.

c) integriti mental – meliputi aspek kecerdasan, berpengetahuan luas, profesional, fasih, petah berhujah.

d) integriti fizikal – meliputi aspek kecergasan, sihat, berperawakan kemas dan bersih

Integriti sebenarnya membawa maksud yang luas dan bukan berkait dengan unsur rasuah semata-mata. Integriti adalah merangkumi setiap aspek kehidupan manusia yang mencakupi integriti kita dengan tuhan, dengan keluarga, dengan jiran, dengan ketua dan rakan sepejabat, dengan tugas dan tanggungjawab dan dengan diri kita sendiri. Integriti adalah apa yang kita rasa (hati), apa yang kita fikir? Dan apa yang kita lakukan. Apa yang penting adalah yang dirasa, difikir dan dilaku atas dasar yang betul dan ikhlas (Ismail bin Alias 2006).

Oleh itu, dapatlah dirumuskan bahawa integriti itu berkait rapat dengan kualiti pada individu atau organisasi yang bersifat menyeluruh yang melibatkan keutuhan pematuhan kepada prinsip kod etika, moral dan nilai murni. Organisasi yang berintegriti akan berpegang teguh kepada prinsip kompetens, amanah, dan telus yang pastinya akan melonjakkan kualiti kerja organisasi berkenaan. Adalah menjadi tanggungjawab pemimpin yang berintegriti membawa organisasinya ke tahap kemerlangan kualiti kerana kualiti kerja cemerlang itu sendiri termaktub sebagai ciri integriti.

Sistem Integriti Nasional

Integriti tidak dapat berfungsi dalam kelongsongnya sendiri tanpa dosokong oleh satu sistem sosial, ekonomi, dan perundangan yang menyeluruh. Buku Sistem Integrasi Nasional: Asas-asas panduan, menjelaskan bahawa “Sistem Integriti Nasional merupakan rangkuman keseluruhan institusi, proses, manusia, dan sikap yang secara kolektif bergerak bagi mewujudkan kebolehpercayaan dengan memastikan kuasa yang diamanahkan digunakan dengan penuh integriti dalam masyarakat.” (Mohd Nizam Mohd Ali 2007) ms xv.

Asas kepada Sistem Integriti Nasional itu adalah nilai murni masyarakat setempat dan kesedaran awam tentang nilai-nilai berkenaan. Tonggak yang dibina di atas asas sistem nilai murni ini membentuk sistem integriti nasional. Pembangunan yang mapan, kedaulatan undang-undang dan kualiti hidup yang tinggi pada sesebuah negara itu terbina di atas sistem integriti nasional. Lain negara mungkin mempunyai asas yang berbeza tetapi secara umumnya tonggak kepada sistem integriti itu ialah badan eksekutif, parlimen, badan kehakiman, perkhidmatan awam, agensi pengawasan, masyarakat, media massa, dan agensi antarabangsa.

Pelan Integriti Nasional Malaysia (PIN) dibina atas kerangka Sistem Integriti Nasional yang berasaskan kemanusiaan dengan institusi keluarga sebagai terasnya. Keluarga yang membentuk masyarakat dijalin dengan agama, politik, pentadbiran, ekonomi dan sosio budaya dalam kerangka bersepadu masyarakat dan negara. Hal ini akan dihuraikan dalam seksyen yang seterusnya.

Sistem Integriti Nasional diwujudkan untuk menggembleng keyakinan rakyat terhadap tadbir urus yang boleh dipercayaai. Oleh itu sistem integriti nasional merangkumi keseluruhan institusi, proses, manusia dan sikap yang secara kolektif mewujudkan kebolehpercayaan yang tinggi. Sistem integriti nasional mewujudkan kerangka yang sistematik untuk memastikan kuasa yang diberi digunakan dengan penuh amanah dalam masyarakat (Mohd Nizam Mohd Ali 2007).

Sehubungan dengan itu, Sistem Integriti Nasional juga menjelaskan bahawa beberapa aspek asas berkaitan integriti perlu diberi perhatian. Antaranya ialah (a) integriti, rasuah dan akauntabiliti adalah konsep-konsep yang berkait rapat; (b) menyekat rasuah hanyalah sebahagian daripada usaha menggalakkan integriti; (c) integriti tidak boleh dipaksa atau dicapai semata-mata melalui institusi atau sistem perundangan; (d) integriti haruslah didokong oleh akauntabiliti bersama, dan (e) kepimpinan menyumbang kepada sistem integriti yang berkesan tetapi tidak boleh menggantikannya. Aspek sumbangan pemimpin terhadap peningkatan integriti sesebuah organisasi akan dibincang dengan lebih lanjut dalam kertas ini kemudian.

Pelan Integriti Nasional (PIN) sepintas lalu

Pelan Integriti Nasional digubal berasaskan realiti sistem kekeluargaan, masyarakat dan kemanusiaan di Malaysia dalm kerangka Sistem Integriti Nasional. Hal ini jelas dicerminkan dalam falsafah PIN yang antara lain menjelaskan bahawa hakikat kehidupan bermasyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama adalah adalah satu kurniaan atau kelebihan yang perlu dimanfaatkan. PIN juga menyerap falsafah dan prinsip Rukun Negara iatu membina masyarakat yang bersatu padu, adil, demokratik, liberal, progresif serta berpegang teguh kepada lima prinsip rukun negara itu.

Konsep PIN

Dari segi konsepnya, PIN ialah pelan induk yang memberikan hala tuju serta bimbingan kepada semua komponen negara ini dengan mengkordinasikan usaha semua pihak dalam gerakan memantapkan integriti. Sejajar dengan kerangka Sistem Integrasi Nasional, PIN memerlukan institusi governans Malaysia iaitu eksekutif, perundangan dan kehakiman supaya meningkatkan integriti, dan melaksanakan fungsi dengan cekap, telus, adil dan berkesan.

Objektif PIN

Dokumen ringkas PIN menggariskan objektif umum PIN sebagai

“Untuk merealisasikan hasrat Wawasan 2020 iaitu Malaysia menjadi sebuah negara maju menurut acuannya sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri, moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi oleh budi pekerti yang luhur” (Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam 2006).

Sebagai sebuah dokumen yang organik, untuk lima tahun pertama, objektif umum PIN diterjemahkan kepada lima objektif khusus untuk tempoh 2004 – 2008:

i. mengurangkan gejala rasuah, penyelewengan, dan salah guna kuasa secara berkesan;

ii. meningkatkan kecekapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam dan mengatasi kerenah birokrasi;

iii. meningkatkan tadbir urus korporat dan etika perniagaan;

iv. memantapkan institusi kekeluargaan dan komuniti; dan

v. meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.

Michael Heng menyatakan bahawa jika misi PIN ini berjaya, budaya politik dan perniagaan di Malaysia akan mengalami transformasi yang hebat. PIN akan mengembalikan keyakinan rakyat dalam pelbagai bidang jentera kerajaan. Pandangan sinis masyarakat terhadap politik dan ahli politik sebagai golongan yang sering terlibat dengan rasuah juga akan berubah (Michael Heng 2005). Malaysia akan mempunyai budaya integriti, akauntabiliti dan ketelusan seperti yang diiimpikan oleh Tunku Aziz Tunku Ibrahim, bekas Penasihat kepada Setiausaha Agung PBB mengenai Etika, The pride was entirely justified: virtually every aspect of administration was clean; abuse of power was unheard of, department morlae was high, public confidence was vibrant” (Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim 2008)

Integriti dan perkhidmatan awam

Mohd Shahar Sidek (Mohd Shahar Sidek 2005) menterjemahkan integriti dalam perkhidmatan awam Malaysia sebagai keutuhan yang menyentuh soal nilai, etika penjawat awam dan seharusnya menjadi agenda penting pembaharuan pentadbiran. Oleh kerana perkhidmatan awam menyentuh kepentingan dan keperluan awam serta negara, matlamat dan tujuan pengurusan awam perlu dilaksana dan direalisasikan dengan cekap dan berkualiti. Penjawat awam sewajarnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sejajar dengan kepentingan awam. Betapa pentingnya integriti dalam perkhidmatan awam tidak dapat dipertikaikan lagi. Integriti menjadi pelindung kepada penyelewengan dalam urusan dengan orang awam, mengelakkan salah guna kuasa, mengelakkan rasuah dan mengukuhkan keutuhan pengurusan. Di samping itu intgeriti dalam perkhidmatan awam akan memajukan urus tadbir yang baik. Urus tadbir yang baik yang bertunjangkan integriti dapat memberikan keyakinan dan kepuasan kepada pelanggan sebagaimana yang dikehendaki dalam perkhidmatan yang berkualiti. Dengan itu integriti dan perkhidmatan yang berkualiti dalam perkhidmatan awam itu adalah sejajar, sederap dan tidak dapat dipisahkan. Menyedari hakikat bahawa integriti itu amat kritikal kepada perkhidmatan awam terutamanya dalam memacu kemajuan negara ke arah Wawasan 2020, kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Kabinet mengenai Keutuhan Pengurusan pada tahun 1998. Jawatankuasa ini memberi tumpuan kepada akauntabiliti, penerapan nilai murni dan kod etika dalam perkhidmatan awam serta mengenal pasti kelemahan sistem kawalan, sistem penyampaian, dan prosedur kerja dalaman yang membuka ruang kepada peluang untuk pengabaian integriti.

Apakah persepsi masyarakat terhadap integriti perkhidmatan awam? Perkhidmatan awam menghadapi masalah persepsi rakyat bahawa perkhidmatan awam itu rasuah, salah guna kuasa, tidak berdisiplin, lembab dalam bertindak. Selain itu perkhidmatan awam juga dikatakan pilih bulu dalam menjalankan penguatkuasaan, sistem penyampaian tidak berkesan, memberikan perkhidmatan yang tidak memuaskan dan penuh dengan birokrasi (Mohd Tap Salleh 2007). Oleh itu, integriti perkhidmatan awam melibatkan isu tadbir urus korporat, nilai awam, rasuah, sistem penyampaian awam (Mohd Tap Salleh 2008). Berdasarkan objektif PIN 2008, usaha pembaharuan dan penambahbaikan berterusan (kaizen) dalam perkhidmatan awam sedang berjalan. Sistem, peraturan dan peraturan dan prosedur kerja diperkukuhkan bagi meningkatkan integriti dalam pengurusan.

Membudayakan integriti dalam organisasi untuk meningkatkan kualiti

Apabila kita berbicara soal kualiti sebenarnya kita berbicara soal integriti. Begitu juga sebaliknya, jika kita bercakap tentang integriti, kita tidak dapat lari daripada menyentuh hal-hal berkaitan kualiti. Kadang-kadang kita tidak perasan bahawa integriti mempunyai kaitan rapat dengan kualiti. Integriti adalah sendi kepada kualiti perkhidmatan. Membudayakan integriti bukanlah tugas yang dapat digarap hanya dengan peraturan, prosedur dan undang-undang semata-mata. YAB Perdana Menteri berkata:

Yet, ethics and integrity cannot be the subject of legislation, neither can they be legislatively enforced. Moreover, ethics and integrity cannot be taught per se, but instead they must evolve in our cultural setting, in our value system, and in the way we relate to others in society. This makes the promotion of ethics and integrity intangible and difficult to pursue, although they remain some of the most critical attributes that must be imbued throughout society.”

(Abdullah bin Haji Ahmad Badawi 2005).

Membudayakan integriti dapat dilihat melalui program pencegahan (preventive)/pendidikan (educative) dan program hukuman (punitive). Pemimpin mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam memperkukuh integriti dan seterusnya meningkatkan mutu perkhidmatan. Program pengukuhan integriti boleh dikategorikan sebgai program pra-PIN dan pasca-PIN

a) Program berterusan yang telah dilaksana sebelum PIN

Pelbagai program/kaedah berbentuk pendidikan (educative) seperti ceramah, galakan, motivasi dan sebagainya dan program pencegahan (preventive) seperti audit dalam, mesyuarat Pengurusan, JK mengurang kerenah birokrasi dan sebagainya, dan program hukuman (punitive) seperti tindakan tatatertib telah dilaksanakan untuk meningkatkan integriti dikalangan kakitangan. Antaranya:

i. Kepimpinan melalui teladan

Sebagai pemimpin, segala tindakan, keputusan, dan kelakuannya akan diperhatikan oleh anak buahnya. Pemimpin yang berjaya memancarkan sinar integriti dari dirinya pasti akan dapat mempengaruhi orang bawahnya untuk turut berbuat demikian. Maka pemimpin perlu menjadi seorang yang berintegriti dahulu sebelum mengharapkan kaki tangannya menjadi penjawat awam awam yang berintegriti. Walaupun tiada program khas untuk agenda ini, tetapi segala tindakan, pembawaan dan keputusan yang dibuat oleh pemimpin perlu mencerminkan sifat integritinya.

ii. Penubuhan Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan di peringkat Bahagian.

Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan ditubuhkan untuk menyemak proses dan prosedur untuk mengurangkan birokrasi dan menutup ruang kemungkinan berlakunya rasuah dan membuat tapisan terhadap kenaikan pangkat.

iii. Melaksanakan arahan Pekeliling Kemajuan Perkhidmatan (PKPA) dan Arahan Perbendaharaan.

Pelbagai arahan dan panduan yang dikeluarkan oleh Kerajaan seperti Piagam Pelanggan, Hari kualiti, Peti Cadangan, Perhimpunan Bulanan, Hari Bertemu Pelanggan, Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja, dan sebagainya dilaksanakan secara berterusan. Kempen, ceramah, kursus, pemantauan dan maklum balik yang berkaitan dengan arahan berkenaan sentiasa dilaksanakan.

iv. Melaksanakan polisi dan inisiatif kerajaan seperti Etika Kerja, Penerapan Nilai Islam, Budaya Kerja Cemerlang, Perisytiharan Harta, dan Tonggak Dua Belas di semua peringkat kaki tangan jabatan. Kefahaman dan penghayatan polisi dan inisiatif ini di kalangan semua peringkat kaki tangan amat penting.

b) program pasca PIN

Membudayakan integriti bukan sahaja meningkat kualiti kerja tetapi juga sebagai usaha mencapai objektif PIN 2008. Antara program yang dijalankan ialah:

i. Penstrukturan semula untuk meningkatkan kecekapan dan mengurangkan birokrasi di peringkat Bahagian dan juga negeri.

ii. Peningkatan kompetensi dan kemahiran.

Keperluan peningkatan kemahiran yang bersesuaian dengan tugas dibuat melalui analisis keperluan. Kakitangan diberi kursus peningkatan ilmu dan kemahiran berdasarkan analisis keperluan. Kaedah latihan dan jenis kursus juga ditambah baik secara berterusan.

iii. Polisi pintu terbuka untuk meningkatkan ketelusan dan komunikasi.

iv. Penandarasan kualiti kerja dengan standard yang ditetapkan.

v. Pemupukan budaya ilmu dan inovasi melalui slot reviu buku dalam mesyuarat pengurusan.

vi. Penetapan Key Performance Indicator (KPI) sebagai satu bentuk sasaran Sasaran Kerja Tahunan (SKT)

vii. Penambahbaikan kompetensi pelbagai bahasa dan budaya

viii. Polisi pertukaran/pusingan pegawai di sektor yang berisiko tinggi.

Pegawai ditukar ke sektor lain selepas tiga tahun di sektor yang sama, terutamanya sektor yang mempunyai risiko terdedah kepada peluang salah guna kuasa dan rasuah. Selain sebagai pencegah salah guna kuasa, polisi ini juga sebagai langkah peningkatan pengalaman, kemahiran dan ilmu serta menjadikan pegawai lebih all-rounder.

ix. Peningkatan sistem dan prosedur melalui pemerolehan persijilan ISO 9000.

Unit kawalan kualiti ditubuhkan untuk mengemaskan peraturan dan prosedur untuk pematuhan sijil ISO 9000.

x. Penambahbaikan tadbir urus (governance) untuk peningkatan sistem penyampaian.

Penambahbaikan tadbir urus melibatkan keterlibatan, keadilan dan ketelusan dalam membuat keputusan, pelbagai saluran penyampaian maklumat sentiasa terbuka dan saluran pembuatan keputusan yang betul. Hal ini sejajar dengan polisi pintu terbuka pihak pengurusan.

xi. Pewujudan kaunseling rakan sekerja (PERASA) sebagai satu saluran untuk membimbing kakitangan yang bermasalah.

Penutup

Pelan Integriti Nasional (PIN) adalah manifestasi hasrat rakyat Malaysia untuk memastikan semua anggota masyarakat tertutamanya perkhidmatan awam bergerak di atas landasan kompetensi, akauntabiliti, ketelusan dan berkualiti. Pemimpin dalam perkhidmatan perlu mengemudi usaha peningkatan integriti melalui dirinya sendiri dengan komitmen yang tinggi dan istiqamah. Kaitan antara integriti dengan kualiti kerja memang diketahui umum dan peningkatan integriti akan membawa kepada peningkatan kualiti kerja. Walaupun peningkatan integriti adalah subjektif dan sukar diukur tetapi dengan program yang diatur adalah tidak mustahil Malaysia mencapai suasana seperti yang diimpikan oleh Michael Heng

Imagine living in a place where honesty is cherished and practiced, where social cohesion is based on noble universal values expounded by the various spiritual traditions,

where our young people are fired by lofty ideals rather than money and fame.

When that day comes, Malaysia can present itself as a powerful alternative model

of development to challenge the currently dominant western model.”

(Michael Heng 2005)


Rujukan

Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, D. S. (2005). Opening speech. THE WORLD ETHICS AND INTEGRITY FORUM 2005. INSTITUT INTEGRITI MALAYSIA, KUALA LUMPUR.

Institut Integriti Malaysia (2003). Pelan Integriti Nasional. I. I. Malaysia, Institut Integriti Malaysia.

Ismail bin Alias, D. H. (2006). “INSAN BERINTEGRITI PERKHIDMATAN BERKUALITI

Retrieved 02.05.2008, 2008, from http://www.jpa.gov.my/ubulanan/2006/BK.pdf.

Michael Heng (2005). “Pelan Integriti Nasional (National Integrity Plan): An inclusive plan to transform the nation.” Akademika 67: 107 – 108.

Mohamad Shahir bin Abdullah (2006). Integriti menurut perspektif Islam. J. K. Islam, Urusetia Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam: 1-7.

Mohd Nizam Mohd Ali, Ed. (2007). Sistem Integriti Nasional: Asas-asas panduan. Kuala Lumpur, Institut Integriti Malaysia dan United Nations Development Programmes.

Mohd Shahar Sidek (2005). Integriti dalam perkhidmatan awam: Satu pengalaman. J. K. Islam, Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam, Jabatan Kemajuan Islam.

Mohd Tap Salleh, D. D. (2007). Enhancing integrity in the public service. Twelfth Civil Service Conference. Kuala Lumpur, Malaysian Institute of Integrity.

Mohd Tap Salleh, D. D. (2008). Asean Integrity Dialogue 2008: Keeping the region relevant. New Straits Times. Kuala Lumpur: 17.

Oxford University Press. (2008). “Compact Oxford English Dictionary.” Retrieved 30.04.2008, 2008, from http://www.askoxford.com/concise_oed/integrity?view=uk.

Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam (2006). Kenali PIN. J. K. Islam, Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam, Jabatan Kemajuan Islam.

Syed Othman Alhabshi (2001). Integriti cemerlang negara gemilang. Konvensyen Jawatankuasa Keutuhan Pengurusan (JKP) 2001. Melaka.

Tuan Asmawi Tuan Umar (2006). Integriti Dalam Perkhidmatan Awam. Pengukuhan Integriti Perkhidmatan Awam. J. K. Islam.

Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (2008). Staying the course on reforms. New straits Times. Kuala Lumpur: 23.

About these ads

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s